27.10.10

said only once

dalam korpus yang aku rangka panjang berjela tadi, ada satu perkataan saja yang tidak berulang.
yang tunggal.
yang aku guna cuma sekali.
yang tidak sama dengan perkataan lain seperti 'makan', 'semut', 'wow', 'handsome', 'hati' dan beberapa lagi yang lain.
contohnya perkataan 'makan' itu aku ulang 3 kali, kerana seiring waktu makan aku dalam sehari.

bila aku kira-kira semua perkataan 'hati' aku rasa ada berbelas-belas semuanya kerana terlalu banyak sangkutnya perihal hati yang aku cerita dalam korpus karangan aku ini,
seperti jatuh hati dengan kau,
kecil hati bila kau berlagak dingin,
makan hati bila tidur aku tak dipeduli,
besar hati bila aku dipuji,
susah hati bila kau mendiamkan diri.

aku ceritakan banyak juga soal rasa,
terasa, merasa, jenis-jenis rasa;
rasa sakit, rasa kelat, rasa suka, rasa sayang, rasa marah
dan terlalu amat banyak lagi yang lainnya.

perkataan-perkataan ini aku ulang-ulang untuk memberi makna yang berlainan,
yang berbeza supaya karangan aku tadi ada pelangi semacam di kaki bukit sana.
pelangi itu kau, lah.
dulu orang tua pesan bila nampak pelangi jangan dituding,
nanti kudung jemari.
bila aku nampak kau, aku melulu menghalakan jari-jariku,
sehingga sekarang bukan sekadar kudung aku ini,
lumpuh terus bila kelibat kau tidak aku dapati.

dalam korpus yang aku rangka panjang berjela tadi, ada satu perkataan saja yang tidak berulang.
yang tunggal.
yang aku guna cuma sekali.
yang secara keseluruhannya bila dikaitkan menjadi satu gambaran dan satu cerita sahaja.
cinta.
cinta itu hapax legomena.
secara menyeluruhnya perkataan cinta yang aku guna,
yang cuma satu di dalam korpus itu adalah kau.

cinta itu kau, lah.

4 comments:

Aishah Nur Hakim said...

cinta itu, yang itulah.


yang sakit
yang rasa
yang segala

selama exam cik Nisha!

N.I said...

terima kasih Aishah.

semoga selamat untuk apa-apa. :)

Para Jamaludin said...

kalau lepas ni politot, mesti ada pulak tabula rasa.

ilmiah. chare.

N.I said...

eh, aku baru terfikir nak tulis pasal 'man is born free'.
seriuosly.

hehe. :)